'Lokap polis Ayer Molek berbau busuk'
"Apabila anda masuk, perkara pertama yang menyerang anda adalah baunya," kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung lawatan beliau ke lokap polis Ayer Molek di Pulai, Johor.
"Terdapat bau hapak dan bau badan yang sangat busuk.
"Tahanan memakai baju lokap yang tidak selalu dibasuh. Mereka sepatutnya memiliki tiga helai baju bagi setiap seorang tetapi kami diberitahu ia tidak cukup," kata beliau kepada Malaysiakini.
Rabu lalu, suruhanjaya itu mengeluarkan kenyataan keras menyorot keadaan 'tidak berperi kemanusiaan' yang perlu dihadapi oleh 180 orang tahanan lelaki di lokap tersebut.
Asalnya bertujuan untuk lokap sementara, ia kekal beroperasi sejak 2009 dan mengambil sebahagian bangunan penjara Ayer Molek yang dikatakan berusia 100 tahun.
Penjara tersebut telah ditutup dan berpindah ke Simpang Renggam, Kluang bulan Jun lalu.
Selain bau busuk, Joseph berkata beliau terperanjat apabila mendapat tahu para tahanan sukar untuk mendapatkan kemudahan air minuman bersih.
"Tidak ada air minuman bersih disediakan di dalam sel-sel tersebut.
"Tahanan hanya mendapat sebungkus air, tiga kali sehari apabila pembekal makanan datang untuk membawa bungkusan makanan," jelas beliau.
'Keadaan lokap menyeksakan'
Dilaporkan sebelum ini belanja harian untuk setiap tahanan bagi kesemua tiga hidangan tersebut berjumlah RM8.
Berdasarkan pemerhatian beliau terhdapat sehingga sepuluh tahanan di dalam satu-satu sel, paling besar berukuran 7 meter x 7 meter.
"Banyak sel memiliki lantai yang kotor dan pelantar kayu di beberapa sel telah reput. Pada setiap sel terdapat tandas 'terbuka'. Beberapa orang tahanan juga kelihatan sangat sakit," kata beliau lagi.
Tahanan biasanya menghabiskan lima hari di lokap tersebut sebelum didakwa atau dibebaskan mahkamah.
Namun, kata Joseph warga asing yang ditahan kerana kesalahan imigresen boleh ditahan di Ayer Molek sehingga dua minggu.
"Hanya dengan melalui keadaan tersebut ia telah menjadi penyeksaan, malah polis sendiri tidak mahu berada di situ.
"Ia tidak sesuai untuk didiami manusia," tegas beliau.
Dilaporkan sebelum ini para pegawai polis yang bertugas di lokap tersebut telah membeli sendiri topeng muka dan sarung tangan bagi menghalang jangkitan batuk kering (tuberculosis) dari tahanan yang menderita penyakit tersebut.
Lawatan Suhakam pada 31 Julai lalu ke lokap tersebut mendapati tidak ada pegawai perubatan ditempatkan di situ walaupun ia merupakan peraturan di bawah Akta Peraturan-peraturan Lokap dan Penjara 1995.
Para pegawai polis memberitahu Joseph mereka telah memberitahu isu tersebut kepada pegawai atasan tetapi diberitahu tidak ada peruntukan belanjawan bagi memperbaiki keadaan lokap.
Timbalan menteri dalam negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed telah dilaporkan membidas laporan Suhakam berkenaan Ayer Molek sebagai "sudah lapuk."
Nur Jazlan yang juga MP Pulai berkata penjara tersebut telah lama ditutup setelah kementeriannya mendapat laporan keadaan buruk di sana.
"Saya fikir beliau perlu mendapat maklumat yang dikemaskini. Kami bercakap tentang lokap di sini, bukan penjara," kata Joseph
Comments
Post a Comment